Nasib Badrul Afzan masih dalam penilaian, TFC rancang lantik Pengarah Teknikal dan tambah pemain baharu

169

Nasib ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, masih menjadi tanda tanya apabila pihak pengurusan kelab belum membuat keputusan rasmi mengenai kedudukannya, sebaliknya memilih untuk menilai prestasi pasukan secara menyeluruh menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan FC.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, sebarang keputusan berhubung barisan kejurulatihan akan dibuat selepas penilaian oleh Jawatankuasa Teknikal dan Lembaga Pengarah.


“Buat masa ini kita masih berada dalam kedudukan empat teratas dan berada di landasan yang betul. Apa juga keputusan melibatkan jurulatih atau pegawai utama akan dibincangkan di peringkat teknikal dan lembaga pengarah,

katanya.

Farouk turut mendedahkan bahawa pihaknya kini sedang menilai beberapa calon bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal (TD) baharu, sama ada dari Malaysia atau luar negara dengan kriteria utama melibatkan pengalaman di Liga Super atau liga utama Asia.

Selain itu, TFC turut merancang membawa masuk dua hingga tiga pemain baharu dalam jendela perpindahan Januari, dengan tumpuan terhadap posisi penyerang, tengah dan pertahanan bagi memperkukuh skuad menghadapi separuh kedua musim ini.

“Kita terbuka kepada pemain tempatan, ASEAN mahupun Eropah. Yang penting, pemain tersebut boleh menyesuaikan diri dan memberi impak segera kepada pasukan.”

Dalam pada itu, Farouk juga menegaskan bahawa sasaran kelab kekal untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik Liga Super, selain terus bersaing dalam Piala Malaysia.

Sementara itu, beliau yang ditemui pada Majlis Pengumuman MILLS sebagai Rakan Strategik Footwear Rasmi Terengganu FC bagi musim 2025/2026, di mana jenama sukan terkemuka dari Indonesia.

MILLS akan membekalkan kasut latihan dan bola sepak untuk semua pasukan TFC termasuk skuad senior, Piala Presiden, Piala Belia serta akademi bawah 17, 15 dan 12 tahun.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus menjalin kerjasama jangka masa panjang dengan MILLS.

“Insyallah tapi itu salah satu yang saya berminat dengan MILLS Jakarta. Bila saya melawat mereka di Jagatan Indonesia, saya lihat dia punya pasukan inovasi tim mereka cukup kreatif. Jadi kemungkinan di masa hadapan, kita tidak menutup topik itu lah.”

Menariknya, kerjasama ini turut memberi manfaat komersial apabila TFC dilantik sebagai rakan runcit rasmi produk MILLS melalui kedai TFC Direct di Kuala Terengganu yang merupakan satu langkah strategik bagi menjana pendapatan kelab secara berdikari, seiring visi jangka panjang pengurusan baharu.