MILLS berharap dapat taja Harimau Malaya satu hari nanti, kukuhkan komitmen dalam bola sepak Malaysia

88

Jenama sukan terkemuka dari Indonesia, MILLS, terus memperkukuh kehadirannya dalam arena bola sepak Malaysia dengan hasrat besar untuk menjadi penaja rasmi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya, suatu hari nanti.

Menurut Pengarah Jualan & Pemasaran MILLS, Stevendy Tjen, pihaknya pernah cuba menaja pasukan kebangsaan tetapi ia tidak menjadi kenyataan.


“Sebenarnya itu agak rahsia, tetapi ya, kami pernah cuba untuk mengadakan rundingan dengan FAM sebelum ini. Cuma ketika itu perbincangan tidak dapat diteruskan. Namun, kami tetap berharap suatu hari nanti MILLS berpeluang menaja pasukan Harimau Malaya.

Malaysia adalah jiran terdekat kami dan pasaran bola sepak di sini sangat berkembang. Akan menjadi satu kebanggaan besar sekiranya kami dapat bekerjasama dengan pasukan kebangsaan,”

katanya.

Stevendy berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pameran Perdagangan Musim Bunga/Panas 2026 bertemakan “MetaPlay Unlocked”, di mana Universal Sports Sdn Bhdturut diumumkan sebagai Pengedar Tunggal MILLS di Malaysia.

Dalam majlis sama, MILLS turut memperkenalkan kerjasama rasmi sebagai Rakan Kasut (Official Footwear Partner) kepada Terengganu FC (TFC) bagi musim 2025/2026, satu langkah strategik yang menandakan komitmen jenama itu dalam menyokong pembangunan bola sepak tempatan.

“Terengganu FC adalah kelab pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan MILLS. Untuk tahun pertama ini, kami menyokong pasukan melalui penajaan kasut, termasuk kasut bola sepak dan kasut latihan.

Namun, kami berharap pada masa akan datang kerjasama ini boleh diperluas kepada penajaan jersi atau komponen lain. Kami juga berharap MILLS dapat bekerjasama dengan lebih banyak kelab di Malaysia selepas ini.”

Menurut Stevendy, pemilihan TFC dibuat selepas kajian dalaman dan penilaian potensi pasaran dijalankan oleh pasukan R&D MILLS. 

Dalam pada itu, Stevendy berkata MILLS memilih untuk bermula dengan kelab yang mempunyai peluang kolaborasi terbaik, sebelum mengembangkan pengaruhnya ke pasaran Malaysia secara menyeluruh.

“Kami di MILLS sentiasa terbuka untuk peluang. Di mana ada ruang untuk bekerjasama, di situ kami akan cuba masuk. Untuk masa hadapan, saya berharap sekurang-kurangnya dua atau tiga lagi kelab Malaysia boleh bekerjasama dengan MILLS.”

Selain sokongan kepada skuad utama TFC, MILLS juga akan membekalkan kasut kepada pasukan Piala Presiden, Piala Belia serta akademi bawah 17, 15 dan 12 tahun, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang mereka terhadap pembangunan bakat muda.