Peter Cklamovski puji etika kerja Junior Eldstal – Tiada tempat dijamin, semua harus berjuang demi jersi negara
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menegaskan bahawa tiada pemain memiliki tempat terjamin dalam skuad kebangsaan ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November ini.
Cklamovski berkata, beliau kagum dengan semangat dan etika kerja yang ditunjukkan oleh Junior Eldstal dan menyifatkan pemain berusia 34 tahun itu sebagai contoh terbaik kepada rakan sepasukan lain.
“Junior menunjukkan kesungguhan tinggi dan saya bangga dengan etika kerjanya. Spekulasi tentang pemilihan pemain memang perkara biasa, tetapi semua 27 pemain di kem ini berpeluang bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Tiada jaminan untuk sesiapa. Saya suka persaingan sihat sebegini kerana ia menunjukkan semangat dan keinginan untuk berjuang demi jersi negara,”
katanya.
Menurut pengendali kelahiran Australia itu, persaingan dalam pasukan kini berada pada tahap sangat positif sekaligus menjadi satu petanda baik menjelang aksi terakhir tahun 2025, yang menjadi peluang Malaysia untuk menamatkan musim antarabangsa tanpa kekalahan.
Cklamovski turut mendedahkan bahawa kem kali ini digunakan sepenuhnya sebagai blok latihan intensif, dengan penekanan terhadap pemulihan, peningkatan tempo serta penajaman taktikal sebelum aksi bertemu Nepal.
“Kami mahu manfaatkan blok latihan ini untuk membina semula intensiti dan identiti permainan kami dalam suasana terkawal, sebelum benar-benar bersedia menjelang perlawanan itu.”
Daripada 27 pemain yang dipanggil, dua muka baharu diberi peluang iaitu Ryan Lambert dari KL City FC dan Aliff Izwan yang dinaikkan dari skuad B-23.
Cklamovski menjelaskan pemilihan Ryan dibuat berdasarkan prestasi semasa dan konsistensi di peringkat kelab.
“Dia bermain dengan sangat konsisten sejak lima tahun lalu dan menjadi tonggak penting untuk KL City. Dia layak diberi peluang ini untuk buktikan kemampuan.”
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu luar padang termasuk kontroversi melibatkan tujuh pemain warisan, Cklamovski menegaskan fokus pasukan tidak akan terganggu.
“Kami sudah bincangkan perkara itu sebagai satu kumpulan. Prinsip kami mudah iaitu fokus pada apa yang boleh dikawal. Kami mahu memberi impak kepada rakyat Malaysia melalui cara kami bermain dengan semangat, disiplin dan profesionalisme.”
Beliau juga menambah bahawa tenaga pasukan tidak boleh dibazirkan kepada perkara negatif, sebaliknya perlu disalurkan kepada latihan dan persiapan menghadapi Nepal.
Sementara itu, Cklamovski berharap skuad Harimau Malaya dapat mengekalkan momentum positif dengan kemenangan di Bukit Jalil.
“Kami mahu menamatkan tahun ini dengan prestasi terbaik, bermain bola sepak yang baik, menjaringkan gol, mengekalkan rekod tanpa bolos dan membawa pulang tiga mata untuk negara.”