Negeri Sembilan FC sasar pentas Asia: Fasa pemulihan, matlamat besar musim hadapan
Negeri Sembilan FC (NSFC) kini menaruh sasaran tinggi untuk beraksi di pentas Asia pada musim hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC (NSFC), Faliq Firdaus, pasukan kini berada dalam fasa pemulihan selepas menamatkan musim lalu di tangga kedua tercorot.
Namun, musim ini menunjukkan peningkatan ketara dengan kehadiran pemain baharu, jurulatih baru Nidzam Jamil, dan struktur pasukan yang lebih kukuh, menjadikan pasukan lebih kompetitif dan berpotensi untuk menamatkan liga dalam kedudukan satu angka (single digit finish).
“Kita ada sasaran dalaman, tetapi tidak diumumkan secara rasmi. Musim lalu, kita menamatkan liga di kedudukan ke-12, dan sasaran untuk musim ini adalah untuk menamatkan liga dalam kedudukan satu angka. Untuk musim hadapan pula, sasaran kita lebih tinggi.
Seperti yang saya sebut sebelum ini, pasukan kini berada dalam fasa pemulihan, selepas menamatkan musim lalu di tangga kedua tercorot. Musim ini menunjukkan peningkatan, dengan kemasukan beberapa pemain utama serta kehadiran jurulatih Nidzam Jamil. InsyaAllah, musim hadapan kita akan memulakan dengan penambahbaikan yang lebih menyeluruh, dan mungkin membuka peluang untuk cabaran di pentas Asia,”
katanya.
Faliq turut menekankan pentingnya penyokong setia The Jangs untuk terus memberikan sokongan padu, terutamanya menjelang perlawanan menentang Terengganu FC pada 22 November.
“Setakat ini, 5,000 tiket telah terjual walaupun belum diumumkan secara rasmi. Perlawanan ini sangat penting untuk menguji kombinasi baharu dan memberi ruang kepada pemain muda, selain mengembalikan keyakinan penyokong.”
Tambah beliau, perlawanan persahabatan menentang Timor-Leste baru-baru ini memberi peluang pasukan menyesuaikan diri dengan format perlawanan petang, dengan beberapa pemain muda menunjukkan potensi positif.
Dalam pada itu, Faliq memberitahu bahawa pada jendela perpindahan Januari 2026, NSFC dijangka akan membawa masuk beberapa pemain baharu di bahagian pertahanan (back four) dan tengah (centre midfield).
Beliau menegaskan mereka tidak mengejar nama besar sebaliknya lebih kepada mencari pemain sokongan yang boleh diharap (reliable backups) untuk memastikan kestabilan pasukan sepanjang musim.
Sementara itu, NSFC juga kini sedang membangunkan pusat latihan baharu di Mantin, hasil kerjasama dengan Majlis Bandaraya Seremban yang mana proses soal tanah sedang dimuktamadkan untuk tempoh pajakan 18–21 tahun, dan pusat latihan dijangka menjadi venue rasmi pasukan Liga Super mulai awal tahun depan.
Projek ini dibahagikan kepada tiga fasa: padang latihan, bangunan serba guna termasuk bilik persalinan dan dewan, serta fasiliti tambahan.