Malaysia B-16 dibelasah Croatia 11-0, catat kekalahan terbesar dalam sejarah

498

Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) kendalian Javier Jorda Ribera berdepan realiti pahit apabila dibelasah 11-0 oleh pasukan Croatia B-16 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Croatia, baru-baru ini sekaligus menjadi kekalahan terbesar dalam sejarah skuad muda negara.

Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada kem latihan dua minggu skuad Harimau Muda di Croatia yang berlangsung dari 27 Oktober hingga 10 November 2025, sebagai persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 AFC 2026 yang akan bermula hujung bulan ini.


Pasukan ini dibarisi pemain-pemain muda terbaik dari pusat pembangunan utama bola sepak remaja negara yang menjadi tunjang kepada projek jangka panjang pembangunan bakat bawah usia 17 tahun.

Walaupun dibarisi bakat terbaik tempatan, perlawanan menentang Croatia jelas mendedahkan jurang besar dari segi fizikal, taktikal dan intensiti permainan antara Malaysia dan gergasi bola sepak Eropah Timur itu.

Kekalahan 11-0 ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai kekalahan paling besar buat skuad B-16, tetapi juga kali pertama skuad muda negara dibolosi dengan angka dua digit dalam satu perlawanan antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia B-16 berdepan Croatia adalah pada Torneo Delle Nazioni 2017, ketika itu dibimbing oleh Lim Teong Kim dan dibarisi pemain-pemain di bawah program National Football Development Programme (NFDP) keputusan berakhir 1-0 memihak kepada Croatia.

Perbandingan ini menggambarkan cabaran besar yang perlu dihadapi generasi baharu untuk menyaingi kualiti bola sepak di peringkat dunia.

Walaupun keputusan besar itu mengecewakan, kem latihan di Eropah ini dianggap penting bagi membentuk mentaliti, ketahanan fizikal dan pengalaman antarabangsa pemain muda Malaysia.

Sepanjang berada di Croatia, skuad B-16 turut mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan akademi tempatan dan kelab remaja Eropah, bagi memberi peluang jurulatih menilai tahap kesediaan pemain menjelang aksi kelayakan.

Kem latihan luar negara ini dilihat sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memperkukuh skuad muda negara menjelang kempen kelayakan dan seterusnya Piala Asia B-17 2026.

Walaupun kekalahan besar ini meninggalkan kesan, pengalaman berdepan pasukan seperti Croatia diyakini akan menjadi batu loncatan penting dalam proses pembelajaran pemain muda negara untuk terus berkembang di pentas antarabangsa.