Ronaldo sahkan Piala Dunia 2026 jadi pentas terakhir

109

Legenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 akan menjadi penampilan terakhirnya di kejohanan paling berprestij dunia itu. 

Dipetik dari BBC, pemain berusia 40 tahun yang kini beraksi bersama Al-Nassr di Arab Saudi berkata, beliau dijangka bersara daripada bola sepak dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.


“Sudah pasti, ya. Saya akan berusia 41 tahun dan saya rasa itu masa yang sesuai untuk mengakhiri karier di kejohanan besar.”

Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat bakal menjadi penampilan keenam buat penjaring terbanyak sepanjang zaman peringkat antarabangsa itu, yang telah mengumpul 143 gol bersama Portugal dan 953 gol keseluruhan dalam kariernya.

Walaupun sudah merangkul pelbagai kejuaraan termasuk Euro 2016, trofi Piala Dunia kekal sebagai satu-satunya kejayaan besar yang masih belum dimilikinya.

Skuad bimbingan Roberto Martínez kini masih dalam misi memastikan tempat ke kejohanan tersebut dan berpeluang layak secara automatik jika menewaskan Republik Ireland minggu ini.