Dion Cools tekad bantu Harimau Malaya teruskan momentum ke Piala Asia

84

Kapten pasukan Harimau Malaya, Dion Cools, menegaskan skuad negara kini berada di landasan tepat menjelang perlawanan penting menentang Nepal dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 18 November ini.

Menurut Cools, walaupun skuad kali ini menampilkan beberapa muka baharu menyertai kem latihan kali ini, beliau percaya kekuatan pasukan tidak terjejas.


“Asas pasukan masih kukuh. Fokus kami tetap sama iaitu layak ke Piala Asia. Kami sudah melakukan kerja yang baik setakat ini, jadi kami mahu teruskan momentum itu.

Saya yakin kami mempunyai kualiti mencukupi untuk bersaing dengan mana-mana pasukan Asia. Kami hanya perlu terus bekerja keras dan pastikan tugasan kami selesai iaitu menang,”

katanya.

Cools yang telah membuat 37 penampil dan enam gol Bersama skuad negara kini dianggap sebagai antara tonggak utama pasukan.

Dalam pada itu, Cools turut memberitahu bahawa pasukan semakin serasi dan fokus mereka tidak langsung terganggu dek skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang melanda skuad negara ketika ini.

“Kami semakin serasi dan keputusan di padang membuktikannya. Sekarang saya bermain di posisi yang membolehkan saya lebih berperanan menentukan kemenangan pasukan.

Kami tahu tentang isu itu, tapi kami tak bincang mengenainya. Suasana dalam pasukan sangat positif, kami bersatu untuk menang.”

Sementara itu, Cools mengakui mereka sudah mendapat gambaran mengenai corak permainan lawan tetapi enggan terlalu memikirkannya kerana fokus mereka adalah untuk bermain dengan gaya permainan mereka sendiri dan cari peluang untuk memanfaatkan kelemahan lawan.