Fokus saya sekarang hanya untuk Harimau Malaya – Harith Haiqal

82

Pertahanan muda Harimau Malaya, Harith Haiqal, menegaskan tumpuannya kini sepenuhnya diberikan kepada pasukan kebangsaan menjelang aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November ini.

Menurut pemain Selangor FC itu, kem latihan yang berlangsung sejak tiga hari lalu berjalan lancar dan suasana di kem Harimau Malaya sangat positif.


“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Semua pemain berada dalam keadaan sangat baik dan bersedia untuk perlawanan 18 November ini,”

katanya.

Dalam pada itu, Harith turut menyambut baik kehadiran beberapa muka baharu seperti Luqman Hakim dan Aliff Izwan yang menyertai kem latihan kali ini.

“Saya gembira Luqman kembali bersama skuad kebangsaan dan bermain semula di Liga Malaysia. Dia ada sesuatu yang boleh bantu pasukan. Untuk Alif Izwan pula, ini satu pengalaman berharga untuk dia.”

Sementara itu, Harith juga berkata beliau tidak terlalu memikirkan soal siapakah yang akan digandingkan sebaliknya fokusnya kini hanya satu iaitu bantu skuad negara kutip tiga mata di Bukit Jalil sekaligus mengukuhkan peluang ke Piala Asia 2027.

“Dengan siapa pun saya digandingkan nanti, insya-Allah tiada masalah. Saya akan beri yang terbaik untuk negara.”