TRW & PDRM didenda RM40 ribu & larangan perpindahan pemain pada jendela kedua
Isu tunggakan gaji terus menghantui dua pasukan Liga Super apabila Kelantan TRW FC dan PDRM FC dijatuhkan denda berat serta dikenakan larangan perpindahan pemain bagi jendela kedua musim 2025-2026 oleh First Instance Body (FIB) di bawah program Financial Fair Play (FFP) MFL.
Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan rasmi telah memaklumkan Unit FFP MFL dan FIB mengadakan mesyuarat penyerahan rasmi In-Season FFP pada 10 November 2025, yang mewajibkan semua kelab menghantar Deklarasi Tunggakan/Tiada Tunggakan serta laporan kewangan bagi Ogos dan September 2025.
Namun, FFP MFL mendapati TRW dan PDRM masih mempunyai tunggakan gaji musim lalu, disahkan pula oleh PFAM.
Lebih mengejutkan, kedua-dua kelab gagal menghantar sebarang deklarasi pada tarikh wajib 16 Oktober 2025.
FIB sebelum ini telah mengeluarkan dua surat amaran, tetapi tiada bukti pembayaran atau pelan penyelesaian dikemukakan.
Akibatnya, hukuman progresif dikenakan:
- Denda pertama: RM10,000
- Denda kedua: RM20,000
- Denda ketiga: RM40,000 + larangan perpindahan pemain
Kini, kedua-dua kelab diberikan tempoh hingga 31 Disember 2025 untuk menyelesaikan tunggakan. Jika gagal, FIB berhak mengenakan tindakan lebih tegas di bawah Artikel 14(1)(e) FFP MFL.
Dengan reputasi dan masa depan pasukan dipertaruhkan, TRW dan PDRM perlu segera melangsaikan tunggakan sebelum hukuman lebih berat dikenakan nanti.