Kami sebagai pemain sangat ‘happy’ dengan Cklamovski – Sikh Izhan
Penjaga gol Harimau Malaya, Sikh Izhan Nazrel, tampil penuh keyakinan menjelang pertembungan penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 November.
Menurut Sikh Izhan, persiapan pasukan berjalan dengan lancar dan kesemua sudah bersedia untuk aksi penting pada Selasa ini.
“Setakat ini dalam persiapan yang sangat bagus, semua pemain 100% ‘ready’ dan saya pasti bertemu Nepal yang kali kedua ni akan memberikan lagi impact positif kepada pasukan kebangsaan,”
katanya.
Sikh berkata Malaysia ketika ini berada dalam kedudukan selesa dalam kumpulan kelayakan dengan rekod kemenangan penuh sekaligus memberi motivasi tambahan kepada seluruh pasukan.
“Kedudukan sangat memberangsangkan. Kita menang semua game, jadi bertemu Nepal sekali lagi saya yakin kita akan dapat result positif. Para pemain pun nakkan yang terbaik untuk kita qualified ke next round.”
Dalam pada itu, walaupun optimis Sikh tetap menekankan bahawa mereka tidak boleh ambil mudah kerana prestasi pihak lawan ketika ini juga agak baik termasuk hanya tewas tipis 1-0 kepada Vietnam.
“Kita tahu result Nepal kebelakangan ni kurang bolos. Jadi ketajaman serangan dan kehadiran Luqman Hakim serta pemain senior seperti Paulo Josue beri impak positif untuk pasukan.”
Sementara itu, beliau juga tidak terlalu memikirkan mengenai persaingan antaranya dengan dua lagi penjaga gol negara iaitu Syihan Hazmi dan Haziq Nadzli untuk merebut posisi sebagai penjaga gol utama negara.
Sikh sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada ketua jurulatih Peter Cklamovski untuk buat keputusan siapa yang akan diturunkan nanti.
“Saya rasa semua dalam skuad kebangsaan adalah terbaik. Pemilihan kesebelasan itu hak coach. Jika diberi peluang, saya akan bermain sehabis baik.”
Beliau turut mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan Cklamovski akan meletak jawatan pada hujung tahun ini.
“Kami sebagai pemain sangat happy dengan beliau. Saya tak dengar apa-apa khabar angin. Itu di luar bidang kuasa saya.”
Aksi menentang Nepal pada 18 November nanti bakal menjadi penentu hala tuju Malaysia dalam misi ke Piala Asia 2027.