Semenyo jadi rebutan: Klausa pelepasan £65 juta menjelang jendela perpindahan Januari 2026

65

Antoine Semenyo kini menjadi nama paling panas menjelang jendela perpindahan Januari 2026 selepas terdapat laporan mengenai kewujudan klausa pelepasan £65 juta dalam kontrak baharunya bersama Bournemouth. 

Dipetik dari BBC, klausa itu hanya boleh diaktifkan dalam dua minggu pertama jendela perpindahan musim sejuk, langkah strategik bagi memastikan Bournemouth mempunyai masa mencukupi untuk mencari pengganti andai bintang Ghana itu dibawa keluar.


Semenyo, 25 tahun, sebelum ini menarik minat kelab gergasi seperti Manchester United dan Tottenham. Namun beliau memilih kekal di Vitality Stadium dan menandatangani kontrak lima tahun pada 1 Julai lalu. 

Kini, prestasinya yang luar biasa berjaya menjaringkan enam gol dan tiga assist dalam 11 aksi Premier League musim ini sekaligus menjadikan beliau sasaran utama sekali lagi.

Karier Semenyo bukanlah jalan mudah. Pernah ditolak Arsenal, Spurs dan Millwall ketika remaja, beliau bangkit melalui laluan pembangunan di Bristol sebelum berpindah ke Bournemouth dengan nilai £10 juta pada 2023. Sejak itu, prestasinya meningkat mendadak.

Dengan Bournemouth kehilangan tiga tonggak pertahanan musim panas lalu, mengekalkan Semenyo menjadi keutamaan. 

Namun jika klausa £65 juta itu diaktifkan Januari nanti, perpindahan mega mungkin tidak dapat dielakkan.