Angelo Stiller utamakan Real Madrid berbanding Manchester United
Pemain tengah bertahan VfB Stuttgart, Angelo Stiller dilaporkan lebih cenderung untuk menyertai Real Madrid dan bermain di bawah bimbingan Xabi Alonso berbanding berpindah ke Manchester United dengan Ruben Amorim.
Dipetik dari Teamtalk, Stiller kini dianggap antara pemain tengah bertahan terbaik Bundesliga, dan kedua-dua kelab gergasi Eropah itu dikaitkan dengannya sejak musim panas 2025.
Sepanjang kariernya bersama Stuttgart, pemain berusia 24 tahun itu telah mencatat enam gol dan 22 bantuan dalam 98 penampilan, serta meraih lima caps bersama skuad kebangsaan Jerman.
Wartawan Ben Jacobs melaporkan bahawa Stiller tersenarai dalam pilihan Manchester United, manakala portal Defensa Central menekankan minat Real Madrid terhadap pemain itu.
Menurut Defensa Central, Stiller ‘mahu menyertai Real Madrid dan akan beri keutamaan kepada kelab itu berbanding pasukan lain’.
Sumber terdekat Real Madrid turut menyatakan bahawa pemain itu melihat projek di kelab Sepanyol sebagai lebih ideal berbanding Manchester United, yang sedang melalui tempoh sukar.
Pemain ini juga diyakini mampu memberi tekanan untuk memastikan perpindahan ke ibu kota Sepanyol, sekiranya kepastian minat Real Madrid diperoleh.
Dengan minat kedua-dua kelab gergasi, masa depan Stiller menjadi antara perpindahan paling hangat musim ini.