Manchester United dahului perebutan Kees Smit
Manchester United dilaporkan berada di kedudukan terhadapan untuk mendapatkan pemain tengah sensasi AZ Alkmaar, Kees Smit, yang turut menjadi sasaran Liverpool dan beberapa kelab gergasi Eropah lain.
Dipetik dari Teamtalk, pemain berusia 19 tahun itu kini dianggap antara bakat paling bernilai di Eredivisie selepas merekodkan dua gol dan dua assist dalam 11 penampilan liga musim ini.
Laporan Caught Offside mendedahkan bahawa United setakat ini merupakan satu-satunya kelab yang telah ‘menghubungi’ wakil Smit.
Namun, perpindahan dijangka lebih realistik berlaku pada musim panas akan datang berbanding jendela Januari.
Sumber dalaman kelab turut memaklumkan bahawa AZ sudah bersedia mempertimbangkan tawaran pada harga sekitar £25 juta, dengan kemungkinan perjanjian asas dipersetujui seawal Januari sebelum dimuktamadkan pada musim panas 2025.
Christopher Vivell, Pengarah Rekrutmen United, difahamkan sudah lama memantau perkembangan Smit malah telah menghubungi pemain tersebut untuk menilai minatnya berhijrah ke Old Trafford.
Walaupun belum ada rundingan rasmi antara kelab, langkah awal ini memberi gambaran jelas tentang kesungguhan United.
Smit turut dikaitkan dengan Real Madrid, namun minat paling konkrit ketika ini hadir dari United, menjadikan perebutan tandatangannya semakin menarik menjelang tahun baharu.