Malaysia bukan lagi pasukan kecil, sasaran kita pingat di Thailand – Rakphol Sainetngam
Ketua jurulatih pasukan futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam memberitahu bahawa skuad negara kini berada di landasan positif menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand.
Menurut Rakphol, beliau menyifatkan persiapan tiga minggu sebelum Sukan SEA sebagai memadai, sambil memuji peningkatan kefahaman pemain terhadap sistem permainan beliau.
Bagaimanapun, Rakphol mengakui terdapat sedikit kebimbangan dari sudut kecergasan selepas pemain berehat panjang sejurus kelayakan AFC.
“Minggu pertama memang fizikal mereka belum memuaskan. Kami kawal intensiti dan elakkan kecederaan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mengulas aspek yang perlu diperbaiki, jurulatih asal Thailand itu menekankan fokus kepada pertahanan, khususnya ketika situasi bola mati, isu yang kerap menghantui Malaysia dalam beberapa kejohanan.
Rakphol turut meniup semangat baharu kepada skuad negara apabila meletakkan sasaran podium, bukan sekadar penyertaan.
“Kita mesti ada sasaran. Bukan sekadar menyertai untuk mendapatkan pengalaman semata-mata. Sasaran saya adalah yang terbaik untuk Malaysia — kita perlu memburu podium di Sukan SEA.
Kita tidak boleh lagi berkata “tiada pengalaman”. Kita perlu percaya bahawa kita adalah pasukan besar, bukan pasukan kecil. Walaupun sudah lama tidak berjaya, sekarang adalah masa terbaik kerana pemain semakin yakin dan menunjukkan peningkatan.”
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pertemuan menentang Thailand di gelanggang mereka sendiri, Rakphol kekal profesional.
“Sebagai seorang profesional, tugas saya adalah memberikan yang terbaik untuk Malaysia, dan itu termasuk menang ketika berdepan Thailand. Itu adalah kerja dan tanggungjawab saya.”