Estevao Willian curi tumpuan, Yamal tenggelam di Stamford Bridge
Pertembungan dua remaja sensasi bola sepak Eropah akhirnya menyaksikan satu nama benar-benar menyerlah dan kali ini, bukan Lamine Yamal.
Dipetik dari BBC, di Stamford Bridge, giliran Estevao Willian mengukir malam gemilang apabila aksi cemerlangnya membantu Chelsea menundukkan Barcelona 3-0.
Ketika The Blues sudah mendahului 1-0 dan Barcelona beraksi dengan 10 pemain, Estevao, 18 tahun, mencipta detik magis.
Menerima hantaran Reece James, beliau memotong ke dalam, memperdaya Alejandro Balde dengan gerakan penuh keyakinan sebelum meledakkan rembatan kencang ke penjuru atas gol, menewaskan Joan Garcia tanpa belas.
Bekas pemain sayap Chelsea, Pat Nevin, kagum dengan kehebatan remaja itu. Beliau menyifatkan gol tersebut sebagai bukti bakat luar biasa Estevao yang bukan sahaja memiliki penyudah berkualiti, tetapi juga kecerdikan permainan, pergerakan elegan dan gaya penuh kelas.
Daniel Sturridge turut mengakui bahawa ramai menjangka malam itu milik Yamal, namun Estevao mencuri pentas sepenuhnya.
Yamal akhirnya dikeluarkan pada minit ke-80 diiringi ejekan, manakala dua minit kemudian, Estevao pula menerima standing ovation tanda penghormatan kepada persembahan yang luar biasa.