FAM ambil pendekatan tegas, kecam keganasan terhadap wartawan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pendirian serius dan tegas berhubung insiden yang melibatkan wartawan sukan, Haresh Deol, yang dilaporkan diserang oleh dua lelaki di Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa, 26 November 2025.
Dalam kenyataan rasmi, Datuk Wira Mohd Yusoff Hj Mahadi, Pemangku Presiden FAM, menegaskan bahawa FAM mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap mana-mana individu, termasuk wartawan yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan negara.
Beliau menekankan bahawa sebarang tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan tidak boleh diterima dan bertentangan dengan semangat kesukanan serta nilai integriti yang diperjuangkan oleh FAM.

FAM menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Pada masa sama, badan induk itu akan terus bekerjasama rapat dengan pengamal media, memastikan ruang kerja yang selamat, profesional dan saling menghormati diwujudkan dalam industri sukan negara.
Yusoff Mahadi turut mendoakan agar saudara Haresh Deol berada dalam keadaan baik serta diberikan kekuatan selepas insiden tidak diingini ini, sekali gus menegaskan komitmen FAM terhadap keselamatan, integriti dan profesionalisme dalam sukan Malaysia.