Saya bagi anak saya debut bukan sebab ‘kabel’, tetapi kerana taktikal – Robin van Persie
Anak kepada legenda bola sepak Belanda, Robin van Persie, iaitu Shaqueel van Persie, akhirnya melakar detik bersejarah apabila melakukan debut senior bersama Feyenoord dalam saingan UEFA Europa League.
Shaqueel sebelum ini menghabiskan dua musim awal dalam akademi Manchester City sebelum kembali ke Belanda dan menyertai akademi Feyenoord pada 2017.
Perkembangannya yang stabil di peringkat remaja membawa kepada kontrak profesional pertamanya bersama kelab pada tahun 2022.
Nama Shaqueel mula disebut sebagai prospek masa depan apabila dia dipanggil ke skuad utama buat kali pertama dalam aksi Eredivisie menentang NEC Nijmegen, namun ketika itu dia tidak diturunkan.
Bagaimanapun, peluang sebenar akhirnya tiba pada awal pagi tadi, apabila pemain berusia 19 tahun itu dimasukkan pada minit ke-81 ketika Feyenoord bertemu Celtic dalam aksi Europa League.
Apa yang lebih istimewa adalah, beliau diberi kepercayaan oleh bapanya sendiri yang merupakan ketua jurulatih pasukan.
Masuk ketika pasukan sedang ketinggalan 0-2, Shaqueel beraksi dalam tempoh singkat, dan perlawanan berakhir dengan kekalahan 1-3.
Walaupun debutnya hadir dalam situasi sukar, ia tetap menjadi satu detik besar dalam karier awalnya sebagai pemain profesional.
Selepas perlawanan, Robin van Persie menegaskan bahawa keputusan memasukkan anaknya bukan atas dasar hubungan keluarga, sebaliknya pilihan taktikal.
Menurutnya, Feyenoord memerlukan sesuatu yang berbeza di bahagian serangan dan Shaqueel merupakan pemain yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut, menyebabkan beliau merasakan keputusan tersebut wajar sebagai seorang jurulatih, bukan sebagai seorang bapa.
Walau bagaimanapun, Robin mengakui debut itu tetap istimewa dari sudut peribadi, namun peranan profesional lebih penting ketika membuat keputusan di tepi padang.