Krisis Cameroon memuncak: Onana digugurkan, jurulatih dipecat sebelum AFCON
Persiapan Cameroon untuk Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 terus bergolak apabila penjaga gol utama, Andre Onana, digugurkan daripada skuad akhir.
Dipetik dari BBC, keputusan itu hadir hanya beberapa hari selepas ketua jurulatih Marc Brys dipecat susulan pelbagai tuduhan “muslihat” dan “kegagalan profesional”.
Pemecatan Brys diumumkan oleh Presiden Fecafoot, Samuel Eto, dalam satu kenyataan penuh dramatik yang mendakwa jurulatih Belgium itu menghasut pemain agar menentang arahan badan induk, selain gagal menghadiri mesyuarat, enggan berkongsi program latihan dan menjejaskan hubungan dengan penaja.
Brys, yang dilantik oleh kementerian sukan pada April 2024, juga dituduh bekerjasama dengan individu “tidak dikenali” dalam Fecafoot.
Tempatnya diambil oleh pembantu jurulatih, David Pagou, tetapi pengumuman skuad baharunya menimbulkan lebih banyak persoalan.
Selain Onana, beberapa tonggak seperti kapten Vincent Aboubakar, pemain tengah Napoli Andre-Frank Zambo Anguissa dan pertahanan Michael Ngadeu turut tiada dalam senarai. Kecuali Anguissa yang sedang cedera, tiada alasan rasmi diberikan.
Dengan Afcon di Maghribi bakal membuka tirai pada 21 Disember, Cameroon kini berdepan tekanan besar untuk menstabilkan skuad dalam masa yang singkat.