JDT bangkit pada saat akhir, kekal di puncak Kumpulan B Shopee Cup
Johor Darul Ta’zim FC (JDT) sekali lagi membuktikan mentaliti juara apabila bangkit dramatik dengan dua gol pada masa kecederaan untuk mengikat PKR Svay Rieng FC 2-2 di Phnom Penh, sekaligus mengekalkan kedudukan teratas Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup 2025/26.
Aksi yang penuh debaran itu menyaksikan juara bertahan Liga Super Malaysia hampir berdepan kekalahan mengejut selepas jaringan separuh masa pertama oleh Cristian Roque dan Nhean Sosidan memberi kelebihan selesa buat juara Liga Perdana Kemboja tersebut.
JDT bagaimanapun tidak panik sebalik terus bermain seperti biasa dan telah melakukan kebangkitan yang luar biasa di saat-saat akhir.
Kebangkitan Harimau Selatan dimulakan oleh Shane Lowry yang berjaya menanduk masuk gol pertama pada minit ke-92 hasil sepakan sudut Herberty, sebelum mencipta satu lagi detik magis empat minit kemudian dengan kali ini melorongkan bola untuk Corbin-Ong menanduk masuk gol penyamaan.
Keputusan seri itu cukup penting buat JDT, yang kini mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, satu mata mengatasi Nam Dịnh FC.
Wakil Vietnam itu turut mencuri tumpuan apabila Nguyen Xuan Son meledak hatrik dalam kemenangan 3-0 mereka ke atas Shan United FC di Yangon.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Lion City Sailors FC mensia-siakan kelebihan dua gol apabila diikat Bangkok United 2-2, menyaksikan kedua-dua pasukan meraih mata pertama kempen.
Bagi JDT, kebangkitan dramatik di Phnom Penh bukan sekadar mengelak kekalahan tetapi ia menunjukkan bahawa skuad kendalian Xisco Muñoz kekal berbahaya hingga wisel penamat.
Dengan prestasi sebegini, peluang JDT mara ke peringkat seterusnya terus cerah, sambil memberi isyarat bahawa mereka masih kuasa besar bola sepak Asia Tenggara.
JDT tidak pernah mudah menyerah. Dan malam di Phnom Penh itu sekali lagi membuktikannya.