Nafuzi Zain tegas skuad B-23 perlu kutip tiga mata menentang Laos
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain, menegaskan bahawa kemenangan menentang Laos esok dalam aksi pembukaan bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 di Thailand adalah misi utama pasukan.
Nafuzi bagaimanapun mengakui tugas sukar menanti mereka apabila tiga pemain utama negara iaitu Fergus Tierney, Alif Izwan dan Ubaidullah tidak dapat bersama pasukan berikutan terikat dengan kelab masing-masing ketika ini.
“Dari awal latihan, ada pemain yang bersama dengan kelab. Ada pemain yang bersama dengan kita lepas itu pulang ke kelab untuk bermain. Tapi ini adalah cabaran yang saya perlu sahut,”
katanya.
Menurut Nafuzi, Ubaidullah dijangka akan menyertai pasukan selepas aksi menentang Laos, manakala Alif masih menunggu pelepasan daripada Selangor FC, dan Fergus pula tidak dilepaskan setakat ini.
Berikutan itu, beliau akan membuat persiapan dengan pemain-pemain yang sedia ada ketika ini untuk aksi menentang Laos.
“Kita kena membuat satu persiapan dengan apa yang pemain kita ada, dengan apa percaturan yang terbaik untuk kita. Menang bertemu dengan Laos pada perlawanan pertama.
Dari segi kejohanan, apabila kita tewas pada perlawanan yang pertama itu sangat menyukarkan laluan untuk kebersihan seterusnya.”
Dalam pada itu, Nafuzi juga mengakui bahawa Laos bukan lawan mudah kerana skuad mereka dibarisi oleh beberapa pemain dari skuad senior.
“Laos adalah satu pasukan yang bertahan dengan sangat baik. Dengan jumlah pertahanan yang ramai dan melakukan serangan counter-attack dengan pantas, itu senjata utama mereka.”
Nafuzi bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang kekangan tidak boleh dijadikan alasan.
“Saya rasa benda ini saya tidak boleh meletakkan sebagai satu alasan sebelum kita bermain. Apapun, bagi saya, kita telah membuat persediaan yang terbaik, apa yang kita ada, yang kita mampu.”
Sementara itu, fokus skuad negara ketika ini adalah untuk mendapatkan tiga mata pertama sekaligus membuka laluan positif dalam kejohanan dan membina momentum awal yang penting.