Isu pemain warisan: FAM hantar rayuan ke CAS, 18 Disember tarikh akhir hujahan

117

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan proses rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport – CAS) kini memasuki fasa penting susulan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Menurut kenyataan rasmi, FAM telah pun mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS sebagai langkah awal bagi mencabar keputusan FIFA tersebut. 


Perkembangan terbaharu menyaksikan CAS menetapkan tempoh 10 hari kepada barisan peguam FAM untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 18 Disember 2025.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Hj Mahadi menegaskan bahawa badan induk itu komited sepenuhnya untuk melalui keseluruhan proses rayuan secara profesional, telus serta selaras dengan semua prosedur perundangan yang ditetapkan oleh CAS. 

Pendekatan ini jelas menunjukkan kesungguhan FAM dalam mempertahankan kepentingan bola sepak negara dan kebajikan pemain-pemain terlibat.

Isu membabitkan pemain warisan Harimau Malaya ini menjadi tumpuan besar peminat bola sepak tempatan, memandangkan ia memberi kesan langsung kepada perancangan skuad kebangsaan pada masa hadapan. 

FAM turut memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan baharu berkaitan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Kini, seluruh perhatian tertumpu kepada hujahan bertulis yang bakal dikemukakan, yang dilihat sebagai penentu hala tuju kes berprofil tinggi ini di pentas antarabangsa.