Sabah FC sasar julang Piala FA, tiket ke Asia jadi pertaruhan
Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal menjadi saksi detik bersejarah buat Sabah FC apabila pasukan itu mara ke pentas final Piala FA 2025/26 menentang gergasi tanah air yang juga juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), pada 14 Disember ini.
Perlawanan berprestij yang dijadualkan berlangsung jam 9 malam itu bukan sekadar perebutan trofi, malah turut membawa pertaruhan besar tiket ke kejohanan Asia musim hadapan.
Kejayaan Sabah FC melangkah ke final amat bermakna, kerana ia menamatkan penantian lebih 27 tahun penyokong Sang Badak untuk kembali menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas akhir Piala FA.
Pencapaian ini dianggap sebagai simbol kebangkitan dan kematangan Sabah dalam saingan domestik, selepas beberapa musim konsisten mencabar pasukan elit Liga Super.
Menentang JDT sememangnya ujian paling sukar, namun semangat juang dan sokongan padu penyokong dijangka menjadi senjata utama Sabah di SNBJ.
Perlawanan ini turut menjadi peluang terbaik buat penyokong Sabah untuk membanjiri stadium nasional dan membuktikan bahawa Sabah juga memiliki kekuatan ‘lautan merah putih biru’ tersendiri.
Dalam pada itu, Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan harga tiket rasmi final, dengan jualan kini dibuka di tickethotline.com.my.
Peminat Sabah dan JDT diseru untuk hadir beramai-ramai, memeriahkan suasana dan menjadi sebahagian daripada sejarah final Piala FA.
Pada malam 14 Disember nanti, segalanya dipertaruhkan – maruah, trofi, dan impian ke pentas Asia.
Kini, Sabah hanya selangkah daripada merealisasikannya.