Slot tegas pertahan autoriti, isu Salah tidak gugat Liverpool

29

Pengurus Liverpool, Arne Slot, tampil mempertahankan kewibawaannya dengan menegaskan beliau bukan seorang yang lemah, meskipun tercetus kontroversi membabitkan Mohamed Salah. 

Dipetik dari BBC, kenyataan itu hadir selepas penyerang berusia 33 tahun tersebut digugurkan daripada skuad menentang Inter Milan dalam aksi Champions League, susulan temu bual panas yang mendakwa hubungannya dengan Slot telah retak dan dirinya “dikorbankan” oleh kelab.


Slot mengakui terkejut dengan kenyataan Salah, namun menafikan dakwaan itu menjejaskan autoritinya sebagai pengurus. 

Menurutnya, keputusan untuk tidak membawa Salah ke Milan dibuat selepas perbualan ringkas antara kedua-dua pihak.

“Kebiasaannya saya tenang dan berhemah, tetapi itu tidak bermakna saya lemah,” kata Slot, sambil menegaskan bahawa tanggungjawab kelab adalah untuk bertindak apabila pemain membuat kenyataan terbuka yang serius.

Meskipun Salah baru sahaja menandatangani kontrak baharu dua tahun pada April lalu, Slot tidak dapat memastikan masa depan pemain itu bersama Liverpool. 

Namun, beliau percaya sentiasa ada ruang untuk perdamaian dan kepulangan seorang pemain, bergantung kepada situasi selepas perlawanan tersebut.