Ronaldo ibarat Vegeta yang sering bercakap tentang Goku iaitu Messi – Nicolas Pepe

15

Pemain Villareal, Nicolas Pepe, mencuri perhatian peminat bola sepak dunia selepas membuat kenyataan berani tentang perdebatan dua ikon bola sepak moden, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dalam satu temubual.

Apa yang menarik perhatian adalah, beliau menjadikan anime Naruto dan Dragon Ball Z sebagai perbandingan untuk menggambarkan kedua-dua legenda tersebut.


Menurut Pepe, Messi diibaratkan seperti Naruto atau Son Goku, manakala Cristiano Ronaldo pula seperti Sasuke atau Vegeta.

“Cristiano Ronaldo selalu buat temubual, dan dia banyak bercakap tentang Messi. Dari situ kamu boleh nampak, dia adalah nombor dua.

“Kamu tahu Vegeta? Dia selalu bercakap tentang Goku. Tapi siapa yang tak pernah bercakap? Goku.

“Ronaldo ada rasa kecewa yang sama, sebab Messi sentiasa berada di hadapan dia,”

kata Pepe tanpa berselindung.

Kenyataan Pepe ini secara jelas menggambarkan bagaimana Ronaldo dilihat sentiasa mengejar, manakala Messi pula seolah-olah berada di tahap yang tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.

Pepe turut membawa nama Neymar ketika di puncak prestasinya bagi memberi gambaran lebih lanjut tentang perbandingan itu.

“Kamu lihat Neymar ketika di puncak prestasinya, dia boleh bertentang mata dengan Cristiano Ronaldo… tapi bukan dengan Messi, tak ada manusia di atas bumi yang boleh bertentang mata dengan Messi,”

katanya.

Jelas Pepe, sebagai seorang pemain bola sepak, Messi berada di tahap yang tidak masuk akal, seolah-olah datang dari dunia lain, dan dunia mungkin tidak akan melihat pemain seperti dia lagi pada masa hadapan.

Tambahnya, apabila bercakap tentang statistik dan angka, ada yang mungkin memilih Ronaldo, tetapi jika benar-benar mengikuti bola sepak secara dekat, para pakar dan mereka yang berada dalam dunia bola sendiri sebenarnya mengakui Messi sebagai yang terbaik.

Pepe turut menekankan bahawa bola sepak tidak sepatutnya dinilai hanya melalui statistik, siapa melompat paling tinggi atau siapa merembat paling kuat, sebaliknya fokus sebenar perlu diberikan kepada permainan itu sendiri.

Dalam aspek itu, katanya, Messi adalah sesuatu yang luar biasa dan sukar diungkapkan dengan kata-kata.