Saya faham kekecewaan Salah, tetapi dia perlu lindungi kelab, bukan tambah tekanan – Henry

14

Legenda Arsenal, Thierry Henry, tampil bersuara mengenai situasi Mohamed Salah di Liverpool ketika ini selepas bintang Mesir itu meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka terhadap kedudukannya dalam pasukan.

Henry mengakui perasaan kecewa itu sesuatu yang normal untuk pemain bertaraf bintang, namun menegaskan cara Salah menangani isu tersebut adalah satu kesilapan besar.


“Saya faham rasa kecewanya, sangat faham. Tapi ada perkara yang tidak sepatutnya anda bawa ke media, terutama ketika pasukan sedang bergelut,”

kata Henry.

Menurutnya, apabila pasukan berada dalam keadaan sukar, pemain sepatutnya melindungi pasukan, bukan menambah tekanan dari luar.

Henry berkata, situasi yang sedang dialami Salah adalah perkara biasa untuk mana-mana pemain bola sepak.

Beliau mendedahkan bahawa dirinya sendiri pernah melalui situasi tegang bersama pengurus sepanjang kariernya.

“Saya pernah ada masalah dengan Arsene Wenger, saya juga pernah ada isu dengan Pep Guardiola. Semua pemain besar akan melalui fasa ini,”

“Saya pernah duduk di bangku simpanan, saya pernah diketepikan. Tapi saya diam. Saya tidak cipta cerita di media kerana itu hanya akan menyusahkan pasukan,”

jelasnya.

Beliau berkata bahawa segala konflik perlu diselesaikan secara tertutup dan menegaskan bahawa disiplin dan profesionalisme perlu didahulukan dalam apa jua keadaan.

Kenyataan ini hadir ketika masa depan Salah di Anfield semakin menjadi tanda tanya di bawah kendalian Arne Slot.

Salah sebelum ini meluahkan rasa kecewanya kepada media selepas satu perlawanan liga, dengan memberi bayangan seolah-olah dia menjadi ‘kambing hitam’ atas prestasi buruk pasukan ketika ini dan tidak mendapat layanan yang adil daripada Slot.