Igor Jesus: Selebrasi anime & sentuhan berbisa di Eropah
Aksi selebrasi berinspirasikan anime oleh Igor Jesus kini semakin mencuri perhatian peminat bola sepak Eropah.
Dipetik dari BBC, penyerang Nottingham Forest itu, yang merupakan peminat tegar Dragon Ball Z sejak kecil, meraikan setiap jaringan dengan meniru gerakan “energy blast” ikonik watak Goku — gerakan yang kini semakin sinonim dengan dirinya.
Dalam aksi Liga Europa menentang Utrecht, Igor sekali lagi mempamerkan selebrasi tersebut selepas hanya 82 saat dimasukkan sebagai pemain gantian.
Jaringan lewat permainannya memastikan Forest meraih kemenangan 2-1, sekaligus menambah koleksi kepada empat gol di Eropah dan tujuh keseluruhan musim ini.
“Ia sangat menggembirakan dapat menjaringkan gol selepas seminit masuk,” katanya kepada BBC Radio Nottingham.
“Bila jurulatih beri peluang, saya hanya mahu berikan yang terbaik. Saya mahu teruskan prestasi seperti ini.”
Dengan keyakinan yang semakin memuncak, Igor Jesus bukan sahaja mencuri tumpuan dengan sentuhan klinikalnya, tetapi juga dengan selebrasi unik yang menghidupkan semula budaya anime di pentas bola sepak Eropah.