Tiada sebarang tekanan langsung, kami perlu menikmati detik ini – Jean-Paul de Marigny

59

Penampilan Sabah FC di pentas final Piala FA selepas penantian 27 tahun disambut bukan dengan tekanan, sebaliknya penuh rasa syukur, keyakinan dan kepercayaan terhadap proses yang telah dibina sejak awal musim. 

Menurut ketua jurulatih Sabah, Jean-Paul de Marigny pasukannya akan turun tanpa sebarang tekanan untuk perlawanan akhir Piala FA esok menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).


“Bagi kami, detik seperti ini tidak datang secara kebetulan. Ia sesuatu yang anda layak perolehi, sesuatu yang anda usahakan. Proses untuk sampai ke perlawanan seperti ini telah dibina dalam diri para pemain sejak hari pertama kami bermula.

Jadi, ini adalah ganjaran atas segala kerja keras kami. Oleh itu, tiada sebarang tekanan langsung. Bagi saya, berada di sini adalah satu keistimewaan. Perkara paling penting ialah kami perlu menyambut dan menikmati detik ini,”

katanya.

Tambah De Marigny lagi, beliau akan memastikan pasukan bersedia sepenuhnya dari segi mental dengan kunci utama adalah melaksanakan pelan permainan dengan baik.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Australia itu juga menegaskan bahawa kekalahan besar 8-0 kepada JDT dalam perlawanan Liga Super sebelum ini tidak boleh diambil kira kerana sejak beliau mengemudi pasukan kira-kira dua bulan lebih, banyak perubahan ketara berlaku.

“Itu sudah lama berlalu dan ketika itu saya belum menjadi ketua jurulatih. Kini, selepas dua hingga dua setengah bulan mengendalikan pasukan, jelas terdapat kemajuan besar dari segi gaya permainan, taktikal dan mentaliti pemain.

Momentum kami kini baik, pemain semakin selesa dengan peranan masing-masing, dan prestasi meningkat dari minggu ke minggu. Kami menantikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini dan akan memberikan yang terbaik untuk mewakili diri, peminat, dan seluruh rakyat Sabah.”

Sementara itu, kapten pasukan Dominic Tan pula mengakui cabaran besar menanti, namun menegaskan semangat dan keberanian mampu mengubah segalanya.

“Dalam perlawanan akhir, apa sahaja boleh berlaku.”