JDT kekal fokus walau kehilangan ramai tonggak utama – Xisco Munoz

61

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mempertahankan gelaran Piala FA mereka esok menentang Sabah FC di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata pasukannya kekal fokus untuk perlawanan esok biarpun mereka kehilangan ramai tonggak utama dek kecederaan.


“Esok adalah final, memang lebih baik jika semua pemain utama dapat diturunkan, tetapi yang paling penting adalah fokus pada pemain yang ada dan menunjukkan gaya permainan JDT yang menyerang.

Kami akan memberikan 200% usaha esok, bermain dengan intensiti tinggi, berani, dan memanfaatkan setiap peluang. Siapa yang memulakan permainan tidak penting, yang penting ialah prestasi kolektif pasukan,”

kata Xisco.

Antara tonggak utama yang terlepas aksi esok adalah Arif Aiman, Romel Morales, Bergson da Silva dan beberapa lagi.

Xisco juga menekankan betapa pentingnya konsistensi dan ambisi tinggi bagi JDT. Menurutnya, kelab ini bukan sahaja dominan di peringkat negara, malah mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. 

Walaupun menentang perlawanan yang sukar esok, pasukannya akan kekal positif, menampilkan kemampuan sebenar pemain, dan memberikan persembahan terbaik untuk para peminat.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Natxo Insa, turut menekankan mentaliti pasukan walaupun menghadapi jadual padat dengan pelbagai kejohanan.

“Sebagai pemain profesional, peluang untuk menunjukkan kemampuan sentiasa ada. Kehilangan pemain utama membuka ruang untuk pemain lain membuktikan diri. Kami mempunyai skuad yang berkualiti dan motivasi tinggi untuk menghadapi cabaran esok.”

Sementara itu, Xisco menegaskan gaya permainan menyerang pasukan tetap menjadi keutamaan yang mana setiap peluang esok akan dimanfaatkan sebaik mungkin, mengekalkan tekanan tinggi, serta mengekalkan kawalan dalam fasa pertahanan dan serangan.