Jean-Paul de Marigny berasa pelik dengan dua keputusan pengadil

166

Ketua jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny, menyuarakan rasa hairan terhadap dua keputusan pengadil yang disifatkannya “agak pelik” selepas pasukannya tewas 0-5 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

De Marigny bagaimanapun enggan terlalu menyalahkan pengadil, namun mengakui dua insiden tertentu sukar diterima. 


Insiden pertama membabitkan jaringan Sabah yang dibatalkan walaupun disifatkannya sebagai gol yang cantik dan insiden kedua pula melibatkan keputusan yang menurutnya lebih mengelirukan apabila pemain Sabah berada di hadapan pemain pertahanan, namun tiada tindakan diambil terhadap lawan.

“Saya tidak suka bercakap mengenai pengadil kerana tugas mereka sukar, tetapi membatalkan jaringan itu sangat menyedihkan, khususnya kepada pemain dan pasukan.

Secara peribadi, saya fikir itu sepatutnya kad kuning, tetapi ia tidak berlaku. Terpulang kepada semua untuk menilai,”

katanya.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Australia itu berkata mereka sebenarnya sudah menjangkakan intensiti tinggi permainan JDT sejak awal, termasuk pergerakan agresif lawan dengan dan tanpa bola. 

Namun, beliau mengakui pasukannya boleh mengendalikan situasi tersebut dengan lebih baik walaupun pada beberapa ketika berjaya memberi ancaman, khususnya ketika fasa peralihan.

“Kami ada menimbulkan masalah kepada mereka dalam transisi, itu memang perancangan kami. Tetapi kami gagal mempertahankan situasi bola mati dengan baik, dan itu sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku ketika berdepan pasukan berkualiti seperti JDT.”

Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, De Marigny memuji semangat juang anak buahnya yang kekal berpegang kepada identiti permainan Sabah. 

Malah, beliau percaya sebelum layangan kad merah, pasukannya berada dalam keadaan menguasai perlawanan.

“Bermain dengan seorang pemain kurang sudah tentu menyukarkan, lebih-lebih lagi menentang pasukan dengan skuad besar seperti JDT. Namun saya sangat bangga dengan sikap, komitmen dan persembahan pemain. Banyak perkembangan positif dapat dilihat.”

Beliau pada masa sama turut mengulas keputusan menukar penjaga gol, dengan menyifatkan kemasukan Apek (Khairul Fahmi) sebagai satu penghargaan kepada ikon bola sepak Malaysia itu yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa. 

Menurutnya, ia juga satu pengajaran buat penjaga gol muda, Damien, untuk terus memperbaiki aspek tertentu dalam permainannya.

Sementara itu, mengulas hala tuju pasukan, De Marigny menegaskan Sabah perlu terus berkembang dengan pelaburan lebih besar bagi meningkatkan kualiti dan ‘squad depth’.

“Untuk bersaing dengan kelab besar seperti JDT yang memiliki kelebihan kewangan, wang bukan segala-galanya tetapi ia jelas membantu.”

De Marigny berharap kepulangan Gabriel Peres pada 21 Disember nanti dapat memperkukuh barisan pertahanan Sabah, sambil menegaskan pemain itu merupakan aset besar dari segi mentaliti dan profesionalisme, walaupun memerlukan masa untuk kembali ke tahap kecergasan terbaik.