Xisco Munoz puji kehebatan pemain, Hidalgo nikmati momen impian
Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam kancah bola sepak tanah air apabila menundukkan Sabah FC 5-0 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Kejayaan ini menandakan gelaran pertama ketua jurulatih, Xisco Munoz, bersama pasukan gergasi Johor itu dan beliau memberi kredit kepada pemain-pemainnya yang sentiasa bekerja keras untuk mengekalkan prestasi cemerlang pasukan.
“Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kerana mereka menunjukkan keunggulan dalam setiap perlawanan. Kami mengawal permainan, menampilkan gaya kami, tekanan tinggi dan mendominasi perlawanan dari awal hingga akhir,”
katanya.
Xisco turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan, staf dan semua yang terlibat di belakang tabir terutamanya pemilik pasukan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Idris.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bos, kerana setiap hari beliau memberikan yang terbaik kepada kami. Kami cuba mempunyai ambisi yang besar, bekerja dengan sangat baik dan sentiasa melangkah ke hadapan. Seterusnya, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para pemain.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sangat bangga dengan mereka kerana mereka bekerja keras setiap hari dan sentiasa berusaha memberi yang terbaik. Mereka juga menunjukkan keunggulan dalam setiap perlawanan. Sekali lagi, kami menguasai perlawanan.”
Kemenangan besar pada final Piala FA ini adalah yang kedua kerana pada tahun lalu JDT membelasah Selangor FC dengan keputusan 6-1.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Manuel Hidalgo nyata gembira dengan prestasinya pada malam ini yang mana beliau berusaha memberikan sumbangan maksimum di setiap minit yang diperoleh.
“Saya cuba mengikut arahan jurulatih dan bermain di mana sahaja diperlukan. Bermain dalam perlawanan akhir di stadium yang indah ini adalah satu impian menjadi kenyataan.”