Fergus Tierney kecewa tapi bangga walaupun Sabah FC tersungkur 5-0 di final Piala FA
Walaupun tewas 5-0 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pemain Sabah FC, Fergus Tierney, meluahkan rasa bangga kerana dapat merasai pengalaman berharga bermain di perlawanan akhir Piala FA, yang menjadi penampilan pertama pasukannya selepas 27 tahun.
“Permainan hari ini kami mulakan dengan agak perlahan. Mungkin ada sedikit gementar. Saya pun tak tahu nak cakap apa sebab terlalu kecewa,”
ujarnya.
Walaupun kecewa dengan keputusan besar itu, Fergus tetap menghargai peluang yang diperoleh untuk beraksi di perlawanan berprestij ini.
“Saya berbangga dapat rasa pengalaman seperti ini dan saya berharap ini adalah permulaan bagi lebih banyak peluang di masa depan.”
Dalam pada itu, bercakap mengenai peluangnya mewakili pasukan kebangsaan di Sukan SEA 2025, Thailand, Fergus mengakui ia bergantung kepada situasi dan keperluan Sabah serta skuad negara.
“Kalau boleh pergi, saya akan pergi untuk membantu pasukan. Kalau tidak, saya akan buat yang terbaik bersama Sabah di Liga Super.”
Selain itu, Fergus juga menyasarkan untuk kembali mencipta sejarah bersama Sabah di masa hadapan.
“Kami akan target untuk sampai ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Kami akan pergi ke semua permainan untuk menang, tak kisahlah Liga atau Piala. Kita akan perbaiki banyak benda.”