Bangkok United enggan beraksi di Kemboja atas faktor keselamatan
Bangkok United mengambil pendirian tegas apabila secara rasmi memaklumkan kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bahawa mereka tidak akan berkunjung ke Kemboja bagi menghadapi Preah Khan Reach Svay Rieng dalam saingan Shopee Cup 2024/25 yang dijadual berlangsung pada 29 Januari 2026.
Dipetik dari ASEAN Football, keputusan itu dibuat susulan ketegangan di sempadan antara Thailand dan Kemboja yang menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan pemain serta pegawai pasukan.
Atas dasar tersebut, pihak pengurusan Bangkok United telah menghantar surat rasmi kepada AFF bagi meminta semakan dan pertimbangan semula terhadap perlawanan berkenaan.
Menurut laporan awal, AFF sedang meneliti kemungkinan memindahkan perlawanan itu ke venue berkecuali seperti Vietnam atau Laos.
Namun, cadangan tersebut berdepan kekangan kerana Svay Rieng selaku pasukan tuan rumah perlu menanggung kos tambahan, sekali gus menyebabkan keputusan muktamad masih belum dicapai.
Walau apa pun hasil perbincangan, sumber mengesahkan Bangkok United tetap berpegang teguh pada pendirian mereka untuk tidak beraksi di Kemboja.
Malah, kelab itu sanggup menerima risiko termasuk kekalahan percuma atau tindakan disiplin demi memastikan keselamatan semua pihak terlibat.