Final Piala FA 2025/26 sepi, isyarat merisaukan bola sepak tempatan
Semalam, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi saksi kepada final Piala FA 2025/26 yang mempertemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC.
Seperti dijangka, JDT mempamerkan dominasi penuh, menewaskan Sabah dengan keputusan besar 5-0, sekaligus menandakan final Piala FA kedua berturut-turut mereka berakhir dengan kemenangan bergaya, selepas membelasah Selangor FC 6-1 pada musim lalu.
Kemenangan ini sekali gus menjadikan JDT menyamai rekod Selangor dan Kedah dengan lima trofi Piala FA, memperlihatkan bahawa pasukan Harimau Selatan kini berada di kelas tersendiri.
Prestasi mereka yang konsisten dan dominan membuktikan bahawa tiada pasukan lain di Liga Malaysia mampu memberi saingan sengit buat JDT ketika ini.
Dari segi taktikal, penguasaan penuh JDT jelas terlihat melalui kawalan permainan, tekanan tinggi, serta serangan yang berterusan dari awal hingga wisel penamat.
Namun begitu, dari sudut kehadiran peminat, perlawanan malam tadi boleh dikatakan paling suram dalam sejarah final Piala FA.
Hanya 40,044 penyokong hadir membanjiri SNBJ, jauh berbeza dengan final sebelum ini yang boleh mencapai lebih 80,000 penonton.
Kekosongan tempat duduk menjadikan suasana stadium tampak sepi dan hambar, sekalipun aksi di padang penuh dramatik.
Beberapa faktor menyumbang kepada jumlah kehadiran yang rendah ini. Antaranya, ramai penyokong Sabah perlu menanggung kos tinggi untuk tiket penerbangan dan penginapan, sekali gus menyukarkan mereka hadir secara fizikal.
Selain itu, dominasi penuh JDT dalam saingan domestik membuatkan ramai peminat pasukan lawan sudah menjangka keputusan perlawanan.
Kekecewaan tersebut semakin dirasai apabila Sabah bukan sekadar kalah, malah tewas dengan jaringan besar, menepati jangkaan ramai.
Lebih membimbangkan, situasi ini juga mencerminkan krisis yang sedang melanda bola sepak tanah air.
Isu-isu kontroversi termasuk pemalsuan dokumen pemain warisan, serta kelemahan pengurusan liga tempatan, membuatkan peminat semakin menjauh dan hilang minat terhadap saingan domestik.
Jumlah kehadiran rendah bukan sahaja menjejaskan atmosferik perlawanan, malah menjadi tanda amaran serius mengenai masa depan liga tempatan.
Sekiranya tiada tindakan drastik dan perubahan menyeluruh dilakukan, bola sepak Malaysia berisiko kehilangan sokongan peminat, sementara dominasi pasukan tertentu sahaja akan terus membayangi kualiti dan persaingan liga.
Masa depan bola sepak negara kini bergantung kepada keupayaan pihak bertanggungjawab dan kelab untuk merancang strategi yang lebih efektif, menarik minat rakyat, dan memastikan liga tempatan kembali menjadi tumpuan peminat.