Disebalik persiapan ‘tunggang-langgang’, Harimau Muda masih berpeluang bawa pulang pingat Sukan SEA

47

Skuad Harimau Muda kendalian Nafuzi Zain menghadapi cabaran getir pada aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 semalam apabila tewas 1-0 kepada Thailand. 

Kekalahan itu bukan sahaja menyakitkan, tetapi lebih mencabar apabila pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain lebih 70 minit selepas seorang pemain dilayangkan kad merah. 


Walaupun begitu, pasukan tetap dipuji kerana menampilkan semangat juang tinggi dan permainan berkualiti sepanjang perlawanan.

Prestasi hambar Harimau Muda sebelum ini di peringkat kumpulan bukan rahsia lagi apabila mereka terpaksa menunggu keputusan pasukan lain untuk melayakkan diri ke separuh akhir, manakala persiapan sebelum temasya juga boleh dianggap tidak mencukupi. 

Dengan hanya dua aksi persahabatan ia jelas memberi impak kepada kesiapsiagaan pasukan.

Selain itu, isu ‘double standard’ dalam layanan pengurusan Harimau Malaya National Team (NT) serta kekangan beberapa pemain utama yang tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing turut menjejaskan strategi, taktikal, dan moral pasukan. 

Kekurangan pengalaman pemain utama nyata memberi kesan kepada prestasi di peringkat tinggi.

Namun begitu, di sebalik semua cabaran ini, Harimau Muda masih mempunyai peluang untuk menutup Sukan SEA 2025 dengan nota positif. 

Mereka kini bersedia menentang Filipina pada aksi perebutan pingat gangsa pada Khamis ini. 

Misi mereka jelas, membuktikan bahawa semangat juang dan kesungguhan pasukan muda negara mampu mengekalkan maruah Malaysia di pentas serantau walaupun menghadapi pelbagai halangan.

Jika berjaya menundukkan Filipina, bukan sahaja pingat gangsa menjadi milik Malaysia, malah ia menjadi simbol ketabahan dan dedikasi pemain muda Harimau Muda yang berjuang tanpa gentar walaupun berada di bawah tekanan besar.