Blue Belt gegar Sukan SEA: Joelle Ai Wong raih pingat perak jiujitsu
Kontinjen Malaysia terus mencuri tumpuan di Sukan SEA 2025 Thailand apabila atlet muda jiujitsu, Joelle Ai Wong, mencipta sensasi luar jangka dengan menghadiahkan pingat perak buat negara walaupun turun sebagai pemegang tali pinggang biru (Blue Belt).
Lebih mengagumkan, Joelle bukan sekadar bersaing, malah menewaskan dua petarung bertali pinggang hitam (Black Belt) dalam laluannya ke pentas final.
Antara mangsa “kejutan” Joelle ialah Ramirez Annie, juara dunia, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA dan atlet yang tidak pernah tewas sejak beberapa tahun lalu.
Lebih luar biasa, Joelle menundukkan Ramirez menerusi submission, satu detik yang menggemparkan arena pertandingan dan disaksikan dengan penuh tidak percaya oleh penonton.
Pada usia 21 tahun, Joelle merupakan atlet termuda dalam divisyen tersebut. Datang sebagai underdog, dia beraksi tanpa gentar, mempamerkan disiplin teknikal tinggi, ketenangan luar biasa dan semangat juang yang kental.
Kejayaannya membuktikan bahawa status dan pengalaman bukan penentu mutlak, sebaliknya keberanian, persiapan rapi dan kepercayaan diri mampu mengubah segalanya.
Secara keseluruhan, kem jiujitsu Malaysia membawa pulang dua pingat iaitu satu perak dan satu gangsa, hasil penyertaan enam atlet.
Namun, kisah Joelle jelas menjadi nadi utama kejayaan ini, apatah lagi dia merupakan satu-satunya wakil dari Muayfit Taipan.
Pencapaian Joelle Ai Wong bukan sahaja membanggakan Malaysia, malah dijangka menjadi antara momen paling dikenang di Sukan SEA kali ini, satu kisah luar biasa yang akan terus diceritakan dalam dunia jiujitsu serantau.