Tanpa sokongan penuh, sukar untuk pelari Malaysia melangkah jauh di pentas antarabangsa
Sukan larian marathon, ultra dan denai di Malaysia sebenarnya memiliki potensi besar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, namun kekangan sokongan menyeluruh terus menjadi penghalang utama.
Perkara itu disuarakan oleh pengasas Projek Hijo, Tarmizi Abdullah, yang melihat bakat pelari tempatan tidak pernah ketandusan, tetapi gagal dimaksimumkan kerana ketiadaan sistem sokongan sepenuh masa.
Menurut Tarmizi, Malaysia memiliki ramai pelari berkualiti, namun kebanyakannya terpaksa membahagikan fokus antara kerjaya dan latihan.
Situasi ini menyebabkan prestasi mereka sukar untuk melonjak secara konsisten, terutamanya apabila dibandingkan dengan pelari dari negara yang mempunyai struktur sokongan lebih kukuh.
“Kalau kita bandingkan dengan pelari luar negara, khususnya Indonesia dan Thailand, kita boleh kata prestasi pelari kita sekadar biasa atau average. Sedangkan dari segi bakat, kita sebenarnya ada ramai atlet,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau turut menekankan bahawa Malaysia hampir tidak mempunyai pelari ultra sepenuh masa kerana kebanyakan atlet terpaksa bekerja dalam bidang lain untuk menyara kehidupan, sekali gus mengehadkan masa pemulihan, latihan khusus dan persediaan mental.
Contoh terdekat ialah kejayaan Ni Jia tamatkan perlumbaan di tempat ke-7 dengan masa 2:42:43 pada temasya Sukan SEA 2025, Thailand baru-baru ini.
Untuk pengetahuan, Ni Jia merupakan seorang jurutera dan bukan pelari profesional sepenuh masa.
Bagi Tarmizi, situasi ini jelas menunjukkan bahawa kejayaan atlet tempatan dicapai lebih kerana pengorbanan peribadi, bukan hasil sistem yang menyokong sepenuhnya.
Dalam konteks ini, sokongan menyeluruh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilihat sebagai faktor kritikal.
Sokongan bukan sekadar dalam bentuk kewangan, tetapi merangkumi elaun latihan, kemudahan sains sukan, perancangan jangka panjang serta jaminan kebajikan atlet.
“Kalau ada full support, kemungkinan besar pelari ultra kita boleh pergi ke tahap yang lebih tinggi.”
Sementara itu, Tarmizi percaya dengan struktur sokongan yang betul, pelari Malaysia bukan sahaja mampu bersaing di peringkat serantau, malah berpotensi mencipta nama di pentas antarabangsa.
Tanpa perubahan menyeluruh, bakat akan terus ada, tetapi potensi sebenar mungkin kekal terpendam.