Menteri KBS baharu diharap tidak pinggir larian jarak jauh
Pelantikan Dr. Mohammed Taufiq sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS) yang baharu selepas rombakan kabinet membuka lembaran baharu buat landskap sukan negara.
Beliau menggantikan YB Hannah Yeoh yang kini memegang portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Kehadiran Dr. Taufiq diharap mampu memberi nafas segar, khususnya kepada sukan larian jarak jauh seperti 5,000 meter, 10,000 meter, marathon, larian denai dan ultra yang dilihat semakin popular tetapi masih kurang mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkepentingan.
Hakikatnya, Malaysia tidak ketandusan atlet berbakat dalam disiplin ini. Acara larian juga berkembang pesat dengan penganjuran pelbagai program hampir setiap bulan, daripada fun run hinggalah ke marathon dan ultra trail, membuktikan minat serta ekosistem larian semakin matang.
Contoh terbaik dapat dilihat pada Sukan SEA 2025 di Thailand apabila Ni Jia menamatkan acara marathon di tempat ketujuh, satu pencapaian membanggakan memandangkan beliau hanyalah pelari separuh masa yang bekerja sebagai jurutera.
Bayangkan potensi sebenar atlet negara jika diberikan sokongan penuh dari segi kewangan, sains sukan dan kebajikan seperti pelari dari Indonesia dan Thailand.
Tidak mustahil, Malaysia mampu melangkah lebih jauh dan mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.