Kehilangan Bruno beri tamparan hebat buat Amorin

53

Manchester United kini berdepan ujian getir selepas kapten pasukan, Bruno Fernandes, disahkan mengalami kecederaan hamstring ketika kekalahan 2-1 kepada Aston Villa. 

Dipetik dari BBC, Diogo Dalot menyifatkan kehilangan rakan senegaranya itu sebagai “tamparan hebat” buat kelab, memandangkan Fernandes merupakan nadi kreatif utama pasukan.


Sepanjang kariernya di Old Trafford, Fernandes amat jarang terlepas perlawanan akibat kecederaan, menjadikannya “azimat” yang sentiasa boleh diharapkan. 

Musim ini sahaja, beliau telah menyumbang lima gol dan tujuh bantuan gol. Ketiadaannya amat dirasai kerana hampir setiap gol United sebelum ini melibatkan sentuhan kreatif beliau.

Pengurus United, Ruben Amorim, mengesahkan Fernandes akan terlepas perlawanan Boxing Day menentang Newcastle. 

Walaupun Amorim cuba bersikap tenang dengan menyatakan kecederaan tisu lembut itu mungkin pulih segera, namun pergerakan perlahan Fernandes di bangku simpanan menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong. 

Tanpa kelibat sang kapten, mampukah Amorim mencari formula magis untuk mengembalikan United ke landasan kemenangan? Segalanya bakal terjawab di Old Trafford nanti.