Penggantungan Noor Azman: FAM serah ke Jawatankuasa Tatatertib, FIFA turut jalankan siasatan mereka sendiri

86

Kemelut dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini memasuki fasa kritikal. Dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif kali keempat bagi penggal 2025-2029 hari ini, badan induk itu memutuskan untuk meneruskan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj. Rahman.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Hj. Mahadi di Wisma FAM itu menetapkan bahawa kes ini akan dirujuk ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan susulan.


“Untuk kes Datuk Azman, kita sekali lagi akan bawa beliau, rujuk beliau kepada Jawatankuasa Tatatertib (DB),”

ujar Yusoff Mahadi.

Yusoff Mahadi juga mendedahkan bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga telah menghantar emel kepada FAM untuk memaklumkan bahawa mereka akan turut melakukan siasatan terhadap Noor Azman.

“Kita juga telah terima emel daripada FIFA bahawa FIFA sendiri akan menjalankan penyiasatannya sendiri terhadap Setiausaha Agung. Jadi ada dua (siasatan) di situ. Semua ini telah diluluskan oleh mesyuarat EXCO pada pagi ini.”

Sementara itu, penglibatan FIFA menandakan isu ini kini berada di bawah pemerhatian global, sekali gus menuntut ketelusan penuh dalam proses pengadilan.