Penyelarasan pengurusan skuad kebangsaan: FAM beri keutamaan kepada proses di CAS

125

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menegaskan pendirian untuk tidak terburu-buru merombak struktur pengurusan pasukan kebangsaan, termasuk isu mengambil alih semula Harimau Malaya daripada unit National Team (NT). 

Menurut Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Hj. Mahadi, segala keputusan besar mengenai masa depan skuad negara kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).


Tegasnya, FAM enggan mengambil langkah yang mendahului keputusan undang-undang di peringkat antarabangsa tersebut.

“Kita tidak akan ambil keputusan mendahului CAS kerana ia penting untuk menentukan tindakan seterusnya. Jika kita ambil tindakan sekarang dan tiba-tiba kita menang di CAS, ia akan menjadi tidak kena. Keputusan CAS itulah yang akan memandu kita,”

jelas beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif kali keempat di Wisma FAM.

Selain isu pengurusan, Yusoff Mahadi juga berkata FAM akan mengambil langkah berani dengan mengikut saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat. 

Siasatan IIC mendapati wujud unsur kecuaian dan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan baharu yang dihantar kepada FIFA.

“Kita akan buat laporan polis selewatnya dalam satu dua hari ini supaya polis boleh jalankan siasatan penuh. Kita mahu tahu bagaimana pemalsuan ini berlaku dan siapa yang bertanggungjawab melakukannya.”

Dalam pada itu, Yusoff Mahadi juga menjelaskan mengenai kedudukan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj. Rahman yang mana penggantungannya dikekalkan dan kes akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Yusoff Mahadi juga mengesahkan bahawa FIFA akan turut menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap Noor Azman.

Beliau berkata FIFA mahu meneliti secara terperinci proses kerja dan penglibatan individu di peringkat kesetiausahaan agung bagi memahami bagaimana dokumen yang diragui tersebut boleh sampai ke tangan mereka.

Sementara itu, Yusoff Mahadi juga mengjangkakan keputusan CAS akan keluar pada bulan Mac 2026 iaitu sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia 2027 di antara Malaysia dan Vietnam.