Tiada lagi kontroversi bola keluar? FIFA uji teknologi ‘Out of Bounds’
IFA kini selangkah lagi dalam merevolusikan dunia bola sepak apabila mula menguji teknologi terbaharu, ‘Out of Bounds’, yang mampu menentukan dengan tepat sama ada bola sudah keluar dari kawasan permainan sebelum sesuatu gol dihasilkan.
Dipetik dari BBC, inovasi yang dibangunkan bersama Hawk-Eye Innovations ini telah diuji dalam tiga perlawanan Piala Intercontinental di Qatar, baru-baru ini.
Selain mengesan bola keluar, FIFA turut memperkenalkan ‘Real-time 3D Recreation’ yang menyediakan paparan maya dari sudut pandang penjaga gol.
Teknologi ini bertujuan membantu VAR membuat keputusan lebih pantas dan jelas bagi situasi ofsaid yang melibatkan gangguan penglihatan (line-of-sight).
Langkah ini dilihat sebagai penyelesaian kepada pelbagai kontroversi besar di liga dunia, termasuk insiden gol Anthony Gordon menentang Arsenal yang mencetuskan perdebatan hangat dua musim lalu.
Selain itu, makluman ofsaid secara audio sepantas kilat juga sedang diuji bagi mengelakkan kecederaan serius pemain akibat pertembungan yang tidak sepatutnya berlaku jika permainan dihentikan lebih awal.
Meskipun masih di peringkat ujian, kehadiran teknologi ini membuktikan komitmen FIFA dalam memastikan ketelusan perlawanan dan keselamatan pemain sentiasa menjadi keutamaan di atas padang.