Rakan Muda Women’s Esports Championship 2025 buka ruang baharu buat pemain wanita tempatan

65

Penganjuran Rakan Muda Women’s Esports Championship 2025 dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkasakan penglibatan wanita dalam arena esports tempatan, sekali gus menutup jurang peluang yang sekian lama wujud dalam industri berkenaan.

Menurut Naib Presiden Perancangan & Perkembangan Esports Integrated (ESI), Muhammad Zulhilmi Tarmizi, kejohanan khusus buat wanita itu merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi ESI selepas pihaknya mendapati pemain wanita di Malaysia mempunyai potensi besar, namun kurang diberikan platform kompetitif yang sesuai.


“Berdasarkan statistik dan pemerhatian yang kami lakukan, memang jelas terdapat kelompongan dari segi peluang untuk wanita menyertai kejohanan esports. Sebenarnya pemain wanita ini ada di Malaysia, bakat pun ada, cuma mereka tidak diberi ruang yang besar untuk tampil dan bersaing,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Zulhilmi, kelainan Rakan Muda Women’s Esports Championship 2025 bukan sekadar terhad kepada satu atau dua judul permainan, sebaliknya menampilkan pelbagai game title popular merangkumi EA Sports FC 26, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Valorant serta Gran Turismo 7 (GT7).

Menariknya, sambutan luar jangkaan diterima daripada kategori GT7, yang mencatat jumlah penyertaan tinggi berbanding jangkaan awal penganjur.

“Sejujurnya kami jangka MLBB atau FC yang akan paling ramai peserta, tapi untuk GT7, sambutan yang diterima memang sesuatu yang luar biasa. Itu menunjukkan minat dan bakat wanita dalam genre berbeza sebenarnya sangat besar.”

Dalam pada itu, Zulhilmi menegaskan penganjuran kejohanan ini bukan sekadar pertandingan semata-mata, tetapi platform penting untuk pemain wanita mempamerkan kemahiran, bakat serta membina keyakinan diri untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kita mahu mereka tunjukkan skill, bakat dan kemampuan kepada semua. Apabila ada platform yang betul, potensi itu boleh digilap dan dikembangkan.”

Mengulas mengenai hala tuju ESI selepas kejayaan skuad wanita negara dalam Mobile Legends di Sukan SEA 2025, Zulhilmi memaklumkan pihaknya kini berada dalam fasa perancangan untuk memperluaskan lagi inisiatif pembangunan esports wanita.

Menurutnya, ESI merancang untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan wanita pada tahun hadapan di bawah Malaysia Esports League, dengan pengenalan judul permainan yang berbeza bagi merancakkan lagi ekosistem esports tempatan.

“Kita harap dengan sokongan berterusan daripada KBS dan inisiatif yang dibawa oleh ESI, ekosistem esports Malaysia akan terus berkembang, lebih inklusif dan memberi peluang sama rata kepada semua, termasuk wanita.”