Martha Stewart sertai Swansea City sebagai pemilik bersama

94

Swansea City terus mencuri tumpuan apabila bilionair Amerika Syarikat, Martha Stewart, disahkan sebagai pemilik bersama terbaharu kelab itu. 

Dipetik dari BBC, tokoh terkenal dalam industri pengurusan rumah dan gaya hidup tersebut mengikut jejak rakan baiknya, Snoop Dogg, serta pemain tengah AC Milan dan legenda Croatia, Luka Modric, yang sebelum ini turut menjadi pemilik minoriti kelab berkenaan.


Stewart, 84, dilaporkan hadir menyaksikan perlawanan Swansea menewaskan Wrexham 2-1 pada Jumaat lalu selepas dijemput sebagai tetamu khas kelab. 

Kehadirannya itu dikatakan menambah keterujaan beliau untuk terlibat secara langsung bersama kelab dari Wales Selatan tersebut.

Pemilik Swansea sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk meningkatkan profil global kelab bagi menjana pendapatan lebih besar, sekali gus membolehkan pelaburan tambahan dilakukan ke atas pasukan mengikut peraturan keuntungan dan kelestarian.

Dalam satu kenyataan rasmi, kelab menyambut baik penyertaan Stewart dan percaya pengalaman menyaksikan perlawanan secara langsung akan mengukuhkan lagi komitmennya.

Namun begitu, Swansea menjangkakan jendela perpindahan Januari akan berlangsung agak tenang meskipun kemasukan pelabur baharu, dengan fokus kekal kepada pembangunan pemain muda dan kestabilan skuad sedia ada.