FAM ambil tindakan tegas, buat laporan polis berhubung isu pemain warisan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengambil langkah tegas apabila Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
FAM menerusi satu kenyataan media rasmi menyatakan tindakan ini dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa tersebut menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.
Laporan polis ini adalah langkah formal bagi memastikan isu ini ditangani mengikut peruntukan undang-undang.
FAM menegaskan komitmennya untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Langkah ini juga mencerminkan usaha persatuan mengekalkan integriti, ketelusan, dan pembaharuan tadbir urus dalam pentadbiran bola sepak negara.
Sementara itu, FAM juga menegaskan bahawa tindakan berani ini adalah untuk menjaga kepentingan bola sepak Malaysia, memulihkan keyakinan rakyat dan peminat terhadap pengurusan pasukan kebangsaan, serta memastikan prinsip integriti tidak dikompromi.