Rashford pilih Barcelona, masa depan bersama Manchester United kian samar

52

Marcus Rashford memberi bayangan jelas mengenai masa depannya apabila menyatakan keinginannya untuk terus kekal bersama Barcelona selepas tamat tempoh pinjamannya pada penghujung musim ini. 

Dipetik dari Teamtalk, penyerang antarabangsa England itu menyertai kelab Catalan berkenaan pada musim panas 2025 selepas gagal memikat pengurus Manchester United, Ruben Amorim.


Sejak menyarung jersi Barcelona, Rashford tampil cemerlang di bawah kendalian Hansi Flick dan pantas menjadi tonggak penting pasukan. 

Pemain berusia 28 tahun itu telah merekodkan 24 penampilan dalam semua kejohanan musim ini, dengan sumbangan tujuh gol serta 11 bantuan jaringan, sekali gus membuktikan kebangkitannya di pentas LaLiga.

Prestasi konsisten Rashford membuka peluang buat Barcelona untuk mengaktifkan klausa pembelian tetap bernilai €30 juta pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Nilai tersebut dilihat sebagai pelaburan berbaloi bagi kelab yang sedang membina semula kekuatan skuad.

Situasi ini sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan Rashford di Old Trafford, dengan kepulangannya ke Manchester United kini dilihat semakin tidak menentu.