Ong Kim Swee kembali pacu akar umbi, dilantik Pengarah Teknikal NFDP baharu

104

Datuk Ong Kim Swee sekali lagi diberi kepercayaan besar dalam landskap bola sepak negara apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu, berkuat kuasa 1 Disember 2025. 

Pelantikan itu diumumkan secara rasmi oleh Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya.


Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu menggantikan Oscar Francisco Gonzalez selepas keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram, dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada usia 55 tahun, Ong Kim Swee dianggap calon paling tepat berdasarkan pengalaman luasnya merangkumi peringkat akar umbi hingga pasukan kebangsaan. 

Beliau pernah membimbing pasukan muda negara, mengetuai Harimau Malaya pada 2016, serta mencipta pelbagai kejayaan termasuk pingat emas Sukan SEA 2011 dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018.

Selain pengalaman bersama FAM, Ong Kim Swee turut menimba ilmu di peringkat kelab tempatan dan Indonesia sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara. 

Pelantikan ini diharap menjadi titik tolak kebangkitan semula kekuatan bola sepak Malaysia bermula dari peringkat akar umbi.