Bintang Manchester United bersinar di AFCON

40

Dua bintang Manchester United, Amad Diallo dan Bryan Mbeumo, mencuri tumpuan di pentas Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila masing-masing mempamerkan aksi cemerlang bersama negara mereka dalam perlawanan awal pagi tadi.

Bersama Ivory Coast, Amad Diallo muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam aksi menentang Mozambique.


Persembahan penuh bertenaga pemain sayap itu, termasuk kawalan bola kemas, larian agresif dan keberanian mencabar pertahanan lawan, membolehkan beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (MoTM).

Gol tersebut bukan sahaja memastikan tiga mata penting buat juara bertahan itu, malah mengukuhkan status Amad sebagai tonggak utama pasukan.

Dalam satu lagi perlawanan, Bryan Mbeumo turut menyerlah ketika membantu Cameroon mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Gabon.

Walaupun tidak mencetak nama selaku penjaring, Mbeumo memainkan peranan besar dalam gerakan serangan, termasuk mencipta peluang yang membawa kepada gol awal perlawanan.

Pengaruh besarnya sepanjang 90 minit menyaksikan beliau turut dipilih sebagai MoTM dalam perlawanan tersebut.