Gagal di AFCON, kerajaan Gabon gantung skuad negara
Kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) Gabon berakhir dengan keputusan drastik apabila kerajaan negara itu bertindak menggantung pasukan kebangsaan, memecat ketua jurulatih Thierry Mouyouma serta mengecualikan bintang utama, Pierre-Emerick Aubameyang.
Dipetik dari BBC, tindakan tegas itu diumumkan oleh Menteri Sukan Gabon, Simplice-Desire Mamboula, susulan kekalahan 3-2 kepada Ivory Coast pada 31 Disember.
Gabon menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan selepas turut tewas kepada Cameroon dan Mozambique, satu prestasi yang disifatkan sebagai “memalukan”.
Menurut Mamboula, kerajaan memutuskan untuk membubarkan barisan kejurulatihan, menggantung pasukan kebangsaan sehingga diberitahu kelak, serta mengecualikan Aubameyang dan Bruno Ecuele Manga daripada skuad.
Gabon sebenarnya sudah tersingkir sebelum perlawanan terakhir, namun tetap gagal mempertahankan kelebihan dua gol di Marrakech.
Aubameyang, yang tidak beraksi dalam perlawanan terakhir akibat kecederaan peha, mempertahankan diri dengan menyatakan masalah pasukan jauh lebih besar daripada individu.
Mouyouma pula menamatkan tugas selepas lebih dua tahun mengendalikan skuad.
Walaupun tindakan kerajaan seperti ini pernah menjadi kebiasaan di Afrika, ia kini semakin jarang berlaku susulan ketegasan FIFA terhadap campur tangan politik dalam bola sepak.