Teka-teki pengganti Rakphol Sainetngam: Siapa bakal galas misi Harimau Malaya di Piala Asia Futsal 2026?

42

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan bahawa tanggal 31 Disember 2025 menjadi hari terakhir buat pengendali berkaliber dari Thailand, Rakphol Sainetngam, berkhidmat sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan. 

Keputusan kepulangan jurulatih yang lebih mesra dikenali sebagai Coach Hamee ke negara asalnya itu dibuat selepas beliau menerima tawaran baharu di sana, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatan cemerlang selama lebih dua tahun sejak mula dilantik pada Ogos 2023. 


Kehilangan figura berusia 46 tahun ini pastinya meninggalkan kesan mendalam memandangkan beliau telah memberikan komitmen yang sangat tinggi serta berjaya memperkasakan semula imej pasukan futsal negara sepanjang tempoh tersebut.

Legasi yang ditinggalkan oleh Coach Hamee dianggap sangat luar biasa kerana beliau berjaya memastikan skuad futsal Harimau Malaya layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2026. 

Kejayaan besar itu dicapai selepas Malaysia mempamerkan aksi bertenaga dalam saingan kelayakan di Kuantan, Pahang pada September lalu dengan menyingkirkan cabaran UAE serta Bangladesh untuk melangkah ke Jakarta bersama-sama gergasi futsal, Iran. 

Selain itu, beliau juga memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas mengatasi pesaing serantau seperti Vietnam dan Myanmar.

Bukan sekadar di peringkat senior, sentuhan berbisa Rakphol turut dirasai oleh skuad pembangunan apabila beliau berjaya membimbing pasukan Bawah 19 tahun (B-19) negara meraih tempat ketiga dalam Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 yang berlangsung di Nonthaburi baru-baru ini. 

Rentetan kejayaan ini menjadikan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar, apatah lagi dengan saingan Piala Asia Futsal 2026 yang dijadualkan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 27 Januari hingga 7 Februari depan hanya berbaki kurang daripada sebulan. 

Kini, tumpuan sepenuhnya terarah kepada FAM untuk menentukan siapakah individu yang paling layak untuk mengisi kekosongan tersebut bagi meneruskan momentum positif yang telah dibina oleh Coach Hamee di pentas tertinggi Asia nanti.