Liam Rosenior calon utama kemudi Chelsea

56

Saga pencarian ketua jurulatih baharu Chelsea kini memasuki fasa akhir apabila Liam Rosenior dilaporkan telah terbang ke London bagi memuktamadkan pelantikannya.

Dipetik dari BBC, pengendali berusia 41 tahun itu menjadi calon pilihan utama bagi menggantikan Enzo Maresca yang meninggalkan kelab selepas berlaku perselisihan faham dengan kepimpinan tertinggi.


Rosenior, yang sebelum ini mengendalikan kelab Strasbourg, dijangka memulakan tugas seawal hari Isnin ini untuk mengambil alih tugas daripada pengurus sementara, Calum McFarlane. 

Meskipun terdapat sedikit kerumitan di pihak Strasbourg yang perlu mencari pengganti segera, namun pihak pengurusan BlueCo yakin urusan formaliti akan selesai dalam masa terdekat.

Penyokong Chelsea kini menanti dengan penuh harapan agar sentuhan Rosenior mampu membawa kestabilan semula kepada pasukan. 

Keputusan seri 1-1 menentang Manchester City baru-baru ini di bawah kendalian McFarlane membuktikan skuad The Blues memiliki semangat juang yang tinggi untuk bangkit semula dalam saingan liga.